28 September 2012

Amalan Taqwa




    Amalan taqwa pula bukan setakat apa yang terkandung di dalam rukun Islam seperti puasa, zakat, haji dan sembahyang sahaja. Bukan setakat membaca Quran atau berwirid dan berzikir sambil mengira dengan tasbih. Bukan juga bersuluk dan beruzlah menjauhkan diri dari orang ramai.

Amalan taqwa bukan sahaja di surau atau di masjid. Amalan taqwa adalah apa sahaja amalan dan perbuatan di dalam kehidupan yang berlandaskan syariat sama ada yang fardhu, wajib, sunat atau harus atau apa sahaja amalan dan perbuatan yang dijauhi dan ditinggalkan sama ada yang haram atau makruh yang dibuat berserta rohnya iaitu ada batinnya, penghayatan dan penjiwaannya.
Dengan kata-kata yang lain, ada terkait dengan akal, roh dan terhubung dengan Allah, dibuat kerana Allah dan mengikut cara yang Allah mahu.  Ini termasuklah segala perkara yang berlaku dalam ke­hidupan baik dalam kehidupan seharian, dalam bidang eko­nomi, pembangunan, pendidikan, kenegaraan, kebudayaan, pentadbiran, ketenteraan, kesihatan dan sebagainya. Asalkan apa yang dibuat atau ditinggalkan itu berkait dan kerana Allah maka itulah taqwa. Amalan yang tidak berkait dan tidak dibuat kerana Allah, itu adalah amalan bangkai yang tidak ada nyawa, jiwa atau rohnya. Ia tidak sampai kepada Allah dan tidak ada apa-apa nilai di sisi-Nya.
Bercakap,membaca atau menulis boleh menjadi taqwa kalau apa yang disampaikan itu adalah ilmu, nasihat atau perkara-perkara yang baik dan manfaat dan dibuat kerana Allah. Diam juga boleh jadi taqwa kalau diam itu untuk mengelakkan dari berkata-kata perkara yang maksiat dan sia-sia atau supaya tidak menyakiti hati orang dan dibuat kerana takutkan Allah. Dalam Islam, di samping ibadah lahir, ada banyak ibadah batin atau ibadah yang bersifat rohaniah.
Ibadah lahir banyak syarat rukun dan sah batalnya. Tetapi ibadah batin tidak mengira tempat, waktu, masa, suci atau berhadas, haul atau nisabnya. Ia boleh dilakukan bila-bila masa. Ini termasuklah bertafakur, muhasabah diri, musyahadah, mujahadah, bertaubat, merintih dengan Tuhan, sabar dalam menanggung sakit, ujian, musibah, cacian, kehinaan dan makian orang, menyuburkan rasa-rasa bertuhan dan rasa-rasa kehambaan dan berzikir di hati. Ini se­mua adalah amalan rohani yang boleh menghasilkan taqwa.
Yang sempurna datangnya daripada Allah SWT. Segala kesilapan dan kekurangan adalah kelemahan daripada diri saya sendiri. Berkat ingatan dan doa agar kita sentiasa bersama sama memperbaiki diri sepanjang perjalanan hidup kita ini. Marilah kita memohon kepada Allah SWT, supaya kita dijadikan orang yang suka dan banyak bertaubat. InshaAllah
Utamakan SELAMAT dan SIHAT untuk Dunia-mu.                        
 Utamakan SOLAT dan ZAKAT untuk Akhirat-mu.                               
Semuga ilmu yg sedikit ini akan dapat kita hayati. Aamin.

No comments:

Post a Comment